Thursday, October 29, 2009

Ulat dalam hidung, di muka hanya mitos: Pakar

Berita Harian, 4 September 2003
Kota Bharu: Kepercayaan wujudnya parasit atau 'ulat' di muka yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa, gatal-gatal dan hidung tersumbat serta berhingus atau dikenali penyakit resdung adalah mitos semata-mata.
Pakar Hidung, Telinga dan Tekak Hospital Pakar Perdana, di sini, Dr Mohamad Hamzah berkata, pendapat seumpama itu kadangkala boleh dikaitkan dengan sihir, kerana ada segelintiran penghidap resdung lebih gemar merujuk masalah itu dengan bomoh berbanding doktor.
Beliau berkata, dalam bidang perubatan moden belum pernah terbukti wujud 'ulat' di bahagian itu.
Katanya, resdung sejenis penyakit hidung disebabkan radang pada membran dan sinus pula adalah rongga dalam tulang muka yang diselaputi mukosa atau membran dan apabila bahagian terbabit dijangkiti virus, bakteria atau kulat itu boleh menyebabkan berlaku radang.
"Pesakit biasanya akan mengalami tanda-tanda seperti hidung tersumbat, berhingus, sakit muka, kurang deria bau, sakit kepala, bau busuk dalam hidung dan demam.
"Jika ada yang mengalami tanda seperti itu perlu membuat pemeriksaan segera kerana hidung perlu diperiksa secara endoskopik untuk mengetahui punca resdung terjadi, tahap penyakit dan cara rawatan yang diperlukan," katanya ketika ditemui pada majlis ceramah kesihatan sempena Kempen Sihat Merdeka 2003, di hospital itu, di sini semalam.
Pada majlis berkenaan, beliau juga memberi ceramah bertajuk 'Penjagaan Kesihatan Telinga dan Tekak' bertempat di ruang legar hospital itu. Selain beliau, turut memberi ceramah Pakar Otopedik hospital itu, Dr Nordin Simbak bertajuk: Osteoarthritis (sakit sendi).
Program yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini turut memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat pemeriksaan percuma membabitkan tekanan darah, ujian indeks jisim (badan) dan ujian glukosa.
Dr Mohamad berkata, ada segelintiran pesakit terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian dalam hidung yang tercedera disebabkan mereka menerima rawatan tidak selamat sebelumnya.
"Pesakit mungkin mengalami kesan sampingan seperti jangkitan kuman atau nanah merebak ke bahagian tekak, paru-paru, tulang muka dan juga dalam rongga mata yang boleh menyebabkan kecacatan pada deria penglihatan jika lambat menerima rawatan," katanya.

1 comment:

  1. Gejala hidung tersumbat adalah kerana kilang memproses hingus mengeluarkan 'mucus' (lendir) berlebihan dan kemudian tersekat...lalu jadilah ia tempat melekat kuman - dan seterusnya bertukar jd kahak kuning / pekat - maka jadilah ia penyakit yg digelar resdung. Lebih info di:

    ubati gejala hidung tersumbat

    ReplyDelete